Anakin Skywalker aka Darth Vader
Anakin Skywalker merupakan lagenda Pahlawan Jedi dari kalangan manusia yang berkhidmat dengan Republik Galactic sebelum kejatuhannya, yang kemudian berpaling menjadi Dark Lord of the Sith dikenali sebagai Darth vader. Ibu beliau bernama Shmi Skywalker. Anakin secara rahsia telah berkahwin dengan Senator Padme Amidala dari Naboo, yang kemudian dikurniakan sepasang anak kembar diber nama Luke Skywalker (seorang lagi lagenda pahlawan Jedi) dan Leia Organa Solo.
Semasa kecil, Anakin melalui hidup yang sukar. Tahun-tahun awal kehidupannya, beliau dan ibunya hidup di Tatooine sebagai hamba. Pada 32 BBY, Anakin telah bertemu seorang Pahlawan Jedi bernama Qui-Gon Jinn. Qui-Gon Jinn berjaya membebaskan Anakin dari pemilikan Watto setelah menang pertaruhan dalam perlumbaan pod - yang disertai oleh Anakin. Qui-Gon Jinn telah membawa Anakin keluar dari Tatooine tetapi ibunya, Shmi Skywalker terpaksa ditinggalkan kerana pertaruhan antara Qui-Gon dengan Watto tidak melibatkan perjanjian untuk membebaskannya (walaupun Qui-Gon cuba untuk memasukkan pembebasan Shmi dalam pertaruhan tersebut tetapi tidak dipersetujui Watto). Terpaksa meninggalkan ibunya menyebabkan Anakin sentiasa memendam perasaan. Anakin Skywalker turut terlibat dalam Pertempuran di Naboo dan dia telah berjaya memusnahkan Stesyen Kawalan Droid dan menggagalkan penaklukan oleh Trade Federation ke atas Naboo.
Tidak lama selepas itu, Anakin telah diterima oleh Jedi Order dan menjadi Padawan kepada Obi-Wan Kenobi. Menurut ramalan Jedi, Anakin adalah Insan Terpilih (the Chosen One) yang akan membawa keseimbangan kepada ‘the Force’ dengan menghapuskan Sith. Inilah sebab utama kenapa mereka melonggarkan kod Jedi untuk membenarkan Anakin memulakan latihan sebagai seorang Jedi.
Pada 22 BBY, Anakin telah bertemu semula dengan Padme Amidala, bekas ratu Naboo yang baru dilantik sebagai Senator untuk Sektor Chommell. Mereka jatuh cinta dan berkahwin secara rahsia selepas Pertempuran di Geonosis. Mereka terpaksa menyembunyikan perkahwinan ini dari pengetahuan umum kerana ia jelas melanggar larangan Jedi Order. Dalam masa yang sama juga, Anakin menghadapi kematian tragis ibunya, Shmi Skywalker yang diseksa teruk oleh sekumpulan Tusken Raiders. Kerana membalas dendam, Anakin telah membunuh kesemua Tusken Raiders dalam kumpulan tersebut termasuk perempuan dan kanak-kanak, dan sekali lagi Anakin telah melanggar Kod dan Etika Jedi yang ketat.
Dalam Peperangan Klon, Anakin berjuang bersama gurunya Obi-Wan Kenobi dan kemudian sebagai Pahlawan Jedi pada 20 BBY. Sepanjang konflik itu, Anakin menjadi sangat terkenal dan menjadi ikon dikenali sebagai “Wira Yang Tak Takut”. Namun begitu, kematian ibunya terus menghantui ditambah pula dengan kemarahan terpendam dari peristiwa itu. Kegagalan untuk mengawal perasaan inilah yang telah memusnahkan Anakin bila pada 19 BBY, dia telah berpaling tadah ke Dark Side. Berlatih dengan Darth Sidious, yang lebih dikenali sebagai Canselor Palpatine, Anakin diberi gelaran Darth Vader dan Empayar Galactic ditubuhkan dengan Palpatine sebagai Maharaja. Para Jedi diburu untuk dihapuskan dengan Arahan 66 (Order 66). Cuma sekumpulan kecil yang terselamat dari kempen penghapusan Jedi oleh Maharaja Palpatine ini. Antara yang terselamat adalah Yoda dan guru lama Anakin, Obi-Wan Kenobi. Anak kembar Anakin, Luke dan Leia dilahirkan ketika peristiwa ini berlaku. Beliau menyangkakan Padme Amidala telah mati sebelum sempat melahirkan anaknya dan tidak tahu akan kelahiran kembar ini. Maharaja Palpatine pula telah memberitahu yang Anakin secara tidak sengaja, akibat dari kemarahannya menyebabkan kematian Padme dan anak dalam kandungannya.
Sebagai Sith Lord, Darth Vader terus memburu saki baki Jedi yang tinggal, meneruskan Kempen Penghapusan Jedi dan berakhir pada 0 BBY. Atas arahan Maharaja Palpatine, Vader sentiasa bergerak dan mengembara merentasi galaksi untuk menghapuskan sebarang pemberontakan. Pada 0 BBY, senjata terhebat empayar diberi nama Death Star telah dimusnahkan oleh seorang juruterbang muda pihak pemberontak. Vader dihantui keinginan untuk mengetahui latar belakang juruterbang muda ini dan menghabiskan beberapa tahun berikutnya mencari. Akhirnya Vader mendapat tahu nama juruterbang ini adalah Luke Skywalker dan dia dapat merasakan yang ini adalah anak lelakinya. Vader meneruskan misinya untuk menghapuskan pemberontak tetapi dalam masa yang sama merancang untuk mempengaruhi anaknya, Luke untuk berpaling ke Dark Side.
Bagaimanapun, Palpatine sedar akan rancangan Vader. Palpatine pula membuat rancangan untuk menjadikan Luke Skywalker sebagai pelatih barunya. Pada 4 ABY, kedua-dua pihak (Empayar Galactic dan Pemberontak) bertembung di Endor untuk penentuan terakhir. Luke Skywalker menyerah diri kepada Darth Vader dan dibawa mengadap Maharaja di dalam Death Star kedua yang menjadi sasaran untuk dimusnahkan oleh pihak pemberontak. Maharaja Palpatine cuba mempengaruhi Luke Skywalker untuk berpaling ke Dark Side dengan memaksanya bertarung dengan Darth Vader. Dalam pertarungan ini, Luke berjaya mengalahkan Vader tetapi dia enggan berpaling kepada Dark Side seperti yang diharapkan oleh Palpatine. Dengan tegas Luke mengatakan yang dia tidak akan sekali-kali berpaling ke Dark Side seperti bapanya kerana dia adalah seorang Pahlawan Jedi.
Cubaan Palpatine untuk membunuh Luke menggunakan Force Lightning telah dihalang oleh Vader. Vader akhirnya bertindak menyelamatkan anaknya dengan menghumban Palpatine ke dalam Teras Reaktor Utama Death Star dan menamatkan riwayat Palpatine. Namun begitu, Vader telah cedera teruk terkena Force Lightning dari Palpatine semasa cuba menyelamatkan Luke. Vader mati tidak lama kemudian tetapi beliau mati sebagai Anakin Skywalker, menebus kesilapan dengan menyelamatkan anaknya, Luke dan pada masa yang sama membunuh Maharaja Palpatine……Dark Lord of The Sith….. dan membawa kembali keseimbangan di Galaksi.
[...] Galaksi ini berlarutan beberapa tahun, tetapi pada 4 ABY, Palpatine telah terkorban ditangan http://www.jeedai-council.mymamall.com/Star-Wars/anakin-skywalker-aka-darth-vader/, Sith apprentice beliau semasa Pertempuran di Endor. This entry was posted on Saturday, [...]